Secangkir kopi O panas
Photo by lil artsy
Pagi ini tidak seperti pagi2 sebelumnya. Matahari tetap naik di ufuk timur. Silir pagi terasa sungguh nyaman mengelus sekujur tubuh. Secangkir kopi O panas terasa sedap. Lebih mengujakan daripada yang biasa. Sambil menatap sekalian unggas menikmati cebisan biskut yang ditabur di laman. Ya..Allah indahnya pagi ini.
Tiadaku syukur nikmatMu selama ini. Syukur dalam ertikata sebenar2nya. Kehidupan dijalani. Hari silih berganti. Mencari rezeki di bumiMu ini. Terkadang dosa dan pahala tiada menjadi sandaran. Hanya kerana mengejar sesuatu yang bukan milik kita. Yang tidak pernah dan tidak akan menjadi milik kita. Hanya milikMu ya..Rabb. Dan dalam perlumbaan ini, aku lupa bersyukur terhadap segala yang telah Kau beri. Setiap hari setiap detik.
Sesekali Kau kirim peringatan. Peringatan buat kita yang alpa. Mengingatkan kita bahawa hidup ini rapuh. Serapuh dahan pokok yang kering di musim kemarau. Tapi rahmatMu melebihi segala2nya. Menyirami jiwa yang tandus. Semoga bibit2 cinta subur bersemi kembali.
Di pagi yang hening ini. Kutemukan kembali cintaku yang hilang. Cinta yang pernah kurasakan di seberang. Ya..Allah. Jadikanlah hamba ini sentiasa bersyukur terhadap nikmatMu. Aku hanya mencari ridhaMu..
NB pagi pertama seusai pulang dari seminggu di hospital
Ibn Abdullah
28 Mac 2020
Beranang
Comments
Post a Comment